Friday, June 25, 2010

MP Wee Choo Keong in Parliment questioning Sime Dary losses and other issues

A very outspoken and frank address by MP of Wangsa Maju,  Wee Choo Keong on 21 Jun in Parliment. Even though the whole text is in Bahasa Malaysia, every Malaysian should read even if one's BM is rusty. I struggle reading it but it was very insightful. The mainstream media only report less than 10 % of what he said.


QUOTE:
Datuk Yang Di Pertua
Skandal Sime Darby

Izinkan saya menyentuh tentang Sime Darby Berhad dan kerugiannya yang kini mencecah 2 billion ringgit.

Kerugian syarikat ini dalam dua projek di Qatar telah bermula pada tahun 2007, tetapi dalam kenyataan-kenyataan akhbar yang di buat oleh pihak syarikat sehingga ke tahun 2009, ianya di nafikan.
Ini bermakna Sime Darby bukan saja membohongi pemegang-pemegang sahamnya, malah ianya telah menipu Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti.

Di sini saya ingin bertanya YB Menteri Kewangan apakah tindakan telah diambil oleh Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti untuk menyiasat skandal Sime Darby.

Saya juga hairan bagaimana Pengerusi Sime Darby Tun Musa Hitam boleh membuat kenyataan bahawa Lembaga Pengarah nya tidak tahu menahu tentang kerugian yang dialami. Ini amat memalukan kerana Sime Darby adalah syarikat perladangan yang terbesar di dunia. Sepatutnya Sime Darby menjadi contoh kepada syarikat lain dalam tadbir urus atau Corporate Governance (dengan izin).

Ini bermakna Sime Darby Berhad mempunyai Lembaga Pengarah yang MATI PUCUK atau IMPOTENT (dengan izin). Ataupun Lembaga Pengarahnya masih tidur bersama dengan pentadbiran Tingkat 4.

Lembaga Pengarahnya hanya sedar tentang perkara tersebut apabila kerugian Sime Darby sudah mencecah hampir 2 billion ringgit, termasuk dalam projek Bakun. Ini amat memalukan bukan saja di Malaysia, malah di seluruh dunia, sebab Sime Darby mempunyai operasi di 20 negara.

Mengapa Sime Darby hanya mengambil tindakan terhadap Ketua Eksekutif Kumpulannya Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid. Bagaimana pula dengan pegawai-pegawai pengurusan kanan yang lain yang turut terlibat dalam membuat keputusan tersebut?

Saya senaraikan nama-nama pegawai tertinggi yang sepatutnya juga menerima tindakan yang sama seperti Datuk Seri Zubir:

1. Datuk Sekhar Krishnan – Pegawai Kewangan Kumpulan Sime Darby semasa Sime Darby membuat keputusan untuk memulakan projek di Qatar;

2. Hisham Hamdan – Bekas Ketua Strategi dan Bisnes. Dia bertanggunjawab memastikan bahawa setiap projek adalah “viable” (dengan izin) sebelum membuat pelaburan.

3. Tong Poh Keow, yang dilantik Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan pada Jun 24, 2008. Sebagai Ketua Pegawai kewangan, dia tidak membuat peruntukan atau “provisions” (dengan izin) untuk kerugian yang bakal dialami.

4. Nik Muhammad Hanafi Nik Abdullah yang pada masa itu merupakan Ketua Audit Dalaman Sime Darby. Dia telah gagal menegur Jabatan Akaun dan Kewangan kerana tidak membuat peruntukan atau “provision” untuk kerugian tersebut.

5. Foo Marn Hin – yang memegang jawatan Ketua Pengurusan Risiko apabila Sime Darby membuat keputusan untuk melabur di Qatar.

6. Abdul Rahim Ismail, yang pada masa itu memegang jawatan Ketua Pegawai Kewangan Division Tenaga dan Utiliti.
Kerugian yang dialami Sime Darby bukannya disebabkan oleh seorang individu. Ianya memerlukan peranan setiap individu yang saya sebutkan tadi.

Kerugian itu juga disebabkan oleh kegagalan Lembaga Pengarah memantau aktiviti syarikat.

Kerugian itu juga disebabkan oleh kegagalan Lembaga Pengarah memantau aktiviti syarikat. Gejala ini boleh diibaratkan seperti “harapkan pagar pagar makan padi!”

Saya juga amat hairan atas alas an apakah Dato Bakke pengarah Felda dilantik sebagai CEO Sime Darby sedangkan beliau pun ada terlibat dengan kerugian lebih kurang RM300 juta dalam pelaburan Felda in America Syarikat dan Suadi. Saya berharap Menteri Kewangan menyiasat perkara ini.

Dengan ini saya ingin mendesak Tun Musa Hitam dan keseluruhan Lembaga Pengarah Sime Darby meletakkan jawatan dengan serta merta.

Datuk Yang DiPertua

Salah satu objektif dari RMK 10 adalah hasrat Kerajaan untuk menghapuskan rasuah. Tetapi apabila ada kes rasuah yang melibatkan kakitangan seseorang Menteri, tiada pula tindakan. Saya ingin memberikan satu contoh. Iaitu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan Encik Hasbie, Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Kewangan Ke II, iaitu YB Tasek Gelugur, dan hasilnya SPRM telah menemui berpuluh-puluh juta ringgit di sebuah kondo di Pulau Pinang. Kita juga dimaklumkan beliau iaitu Orang Kena Tahan, turut memiliki beberapa buah kondo mewah.

YAB PM perlu memberi penjelasan kenapakah sehingga kini En Hasbie belum di dakwa di Mahkamah atau pun kes rasuah ini telah ditutup walaupun SPRM telah memperolehi bukti-bukti yang mencukupi dan juga adakah siasatan juga dijalankan terhadap bekas Menteri Kewangan II. .

Datuk Yang DiPertua

Apa rasional subsidi hendak ditarik semula sekarang, walhal itu sepatutnya langkah yang terkakhir! Sudah bertahun subsidi memberi menafaat kepada rakyat miskin dan kaya. Samada kita suka atau tidak, kita mempunyai peluang untuk memenafaatkan pertaruhan sukan. Mengapa kita perlu bertindak membuta tuli tanpa sebab dan gagal mengambil sesuatu yang positif daripadanya untuk kebajikan rakyat dan negara. Benarkan saya membuka mata dan telinga semua yang hadir di Dewan yang mulia ini berkaitan isu ini.

PERTARUHAN SUKAN: MENGAPA IA PERLU DIBAWA KE ARUS PERDANA DENGAN PENGAWALAN YANG SISTEMATIK

Sebelum saya berhujah lanjut, izinkan saya menegaskan pendirian saya bahawa perjudian dalam apa bentuk sekalipun adalah tidak boleh diterima atas sebab yang jelas. Dan saya tidak berhasrat membosankan Dewan yang mulia ini dengan hujah baik buruk yang telah diperdebatkan dalam menghalalkan pertaruhan sukan dalam negara ini. Daripada rakyat biasa kepada aktivitis social, pentadbir awam dan persendirian, badan agama termasuk kalangan kita Ahli Parlimen, isu pertaruhan sukan ini mencapai tahap yang memualkan, dan kita berbalah tentangnya sebagaimana biasa.

Mengapa terjadi sedemikian? Adakah kerana perjudian dianggap tidak bermoral? Atau tiada kewajaran politik? Atau kerana kita irihati terhadap mereka yang menikmati keuntungan darinya? Mana satu alasannya? Dan tiap pendirian pasti ada penyokongnya!

Mari kita bertindak lebih realistik! Marilah kita lebih realistik mengenai subjek ini walaupun kita tidak menyukainya. Kita boleh berdebat sehingga kucing bertanduk, namun pertaruhan tetap dan akan terus menjadi kegemaran manusia apa jua pendapat kita.

Fikirkan ini! Adakah kita tahu terdapat tidak kurang daripada 750 laman pertaruhan di internet yang tersedia 24 jam 7 hari seminggu! Apakah kita mampu menyekatnya? Sudah tentu ianya mustahil!

Apa yang jelas pertaruhan sudah menjadi kelaziman dalam kehidupan manusia. Persoalannya hanya setakat mana penerimaan kita mengenai judi pertaruhan ini, setuju ata tidak, terima atau tidak. Benarkan atau tidak!

Apakah kita lupa bagaimana kita menyelak buku untuk “bertaruh” dengan sedikit habuan atau aiskrim?

Suka atau tidak, pertaruhan sukan bolasepak sudah ujud sejak dahulu dan berleluasa, kini dan akan terus ujud selagi ada permainan bola dan peminatnya dimukabumi ini. Namun apa yang tidak boleh diterima ialah kegiatan pertaruhan haram dan underground yang berleluasa dan diluar kawalan, dengan jumlah pertaruhan yang mencecah berbillion-bilion ringgit!

Siapakah pemenangnya, dan siapa yang rugi!

Perbetulkan saya jika saya salah. Namun hakikatnya “sindiket haram” lah yang mengaut keuntungan besar – kerana pihak berkuasa tidak mempunyai kebijaksanaan menanganinya dan gagal melihat gambaran besar bahawa pertaruhan sukan yang dilesenkan dan dikawal akan memberi menafaat yang besar kepada rakyat dan negara. Sebenarnya yang rugi ialah rakyat dan negara. Sindiket haram ini mengaut keuntungan yang berbillion tanpa membayar cukai. Tiada cukai maknanya tiada pembangunan, dan rakyat marhaen lah yang mendapat kerugian besar.

Kita tidak perlu pergi jauh untuk melihat bagaimana pertaruhan sukan membawa kesan positif. Lihat sahaja Singapura. Dengan memperlesenkan pertaruhan sukan dan meletakkannya dibawah kawalan, Kerajaan Singapura pernah satu ketika berjaya mengutip cukai sebanyak S$360 juta (RM878j) setahun. Begitu juga Kerajaan Hong Kong yang berjaya menambah kutipan cukai tahunan sebanyak HK$3.1 billion (RM1.4b) setahun. Ini adalah jumlah dana yang banyak yang boleh dimenafaatkan untuk kepentingan dan kebajikan rakyat, hanya jika pihak berkuasa mempunyai pandangan jauh untuk mengambil menafaat daripada hasil ini.

Apatah lagi jika kita mengambil kira hasil haram yang diperolehi sindiket haram ini melahirkan lebih banyak kegiatan haram saperti perjudian atas kredit, kegiatan along, pengedaran dadah, pelacuran, dan macam-macam lagi! Atas alasan ini sahaja tidakkah wajar untuk pihak berkuasa meperlesenkan dan mengawal selia pertaruhan sukan. Bukan menghalalkan judi saperti yang ditohmahkan!

Saya tidak bersetuju dengan terma “menghalalkan judi bola” kerana kita adalah negara umat Islam. Sebaliknya saya usulkan supaya pertaruhan sukan diperlesenkan dan dikawalselia supaya ianya boleh dipantau dan dikawal. Dan apa juga duti dan cukai yang diperolehi boleh dimenafaatkan untuk pembangunan social saperti pemberian biasiswa, bantuan sarahidup bagi yang memerlukan, kemudahan kesihatan untuk rakyat miskin dan lain-lain, termasuklah menngunakannya untuk pembangunan sukan bolasepak agar pasukan Malaysia dapat mencapai persada antarabangsa dan membawa nama Malaysia ke tiap penjuru alam, sekaligus meningkatkan industri pelancungan negara.


Saya adalah seorang realistik. Dan saya nampak faedahnya pertaruhan sukan diperlesenkan dan dikawalselia didalam negara ini kerana menafaatnya jauh mengatasi keburukannya. Contohnya:

1. Pertaruhan secara hutang akan terhapus serta merta. Kerana pertaruhan dibuat secara tunai, para pemain akan berfikir banyak kali sebelum mengeluarkan wang tunai mereka sebelum bertaruh. Ini kerana mereka tahu daripada kehilangan wang tersebut, lebih baik mereka menggunakannya untuk makanan keluarga, atau membayar sewa atau ansuran kereta contohnya;

2. Kerajaan akan mendapat dana tambahan untuk membangunkan sukan bolasepak untuk kepentingan rakyat dan negara;

3. kita akan dapat mengawal dan memantau kegiatan pertaruhan sukan daripada membiarkan ia menjadi kegiatan haram dan bawahtanah;

4. kita akan dapat mengawal dan menghalang aliran keluar wang negara akibat pertaruhan yang dibuat dengan operator pertaruhan luarnegara;

5. kita akan dapat menghalang pembiakan aktiviti haram dan tidak sihat dengan menghalang sindiket haram daripada memperkayakan diri mereka;

6. kita juga dapat menghalang aliran wang negara ke negara lain kerana sindiket haram memerlukan ‘tempat selamat’ untuk menyimpan hasil mereka;

7. kita juga akan mendapat dana tambahan untuk tujuan pembangunan sukan sekiranya pemegang lesen pertaruhan sukan saperti Tan Sri Vincent Tan, Pengerusi Ascot Sports yang berjanji untuk memberi sumbangan kepada satu yayaysan pembangunan sukan daripada hasil pendapatan syarikat beliau kelak;

8. dan tidak lupa penambahan peluang pekerjaan untuk rakyat!


Saya adalah seoran realistic, dan kerana itu walaupun saya menggalakkan kerajaan memperlesenkan pertaruhan sukan ini dan mengawalnya, saya bersetuju beberapa syarat mesti dipatuhi dan dilaksanakan oleh para operator yang akan diberikan lesen tersebut.

Pertama, kita perlu sensitif dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, dan hendaklah kita pastikan tiada mana-mana orang Islam dibenarkan terlibat dengan akitiviti pertaruhan ini atau bekerja didalam mana-mana operator tersebut.

Kedua, saya mencadangkan supaya tiada monopoli oleh mana-mana pihak dalam pertaruhan sukan ini. Sebaliknya hendaklah lebih daripada satu operator diberikan lesen untuk menjalankan pertaruhan sukan ini, seelok-eloknya melalui tender terbuka. Saya percaya habuan akiviti ini lebih daripada mencukupi untuk semua. Dan apabila ada persaingan yang sihat, ianya akan memberi menafaat kepada pelanggan tempatan, dan para operator tersebut akan lebih berhati-hati dan memberi khidmat yang terbaik.

Akhir kalam, saya menyeru rakan Yang Berhormat semua supaya bersikap lebih realistik; dan berhenti daripada mempolitikkan isu ini dan bersikap hipokrit. Berilah kerjasama kepada Kerajaan untuk membawa aktiviti pertaruhan sukan ini ke arus perdana dan mengawal selia dan memantaunya untuk kepentingan dan kebajikan rakyat dan negara.

Saya sedar bahawa kini kita tiba-tiba mempunyai juara-juara sumbang yang kononnya menentang aktiviti pertaruhan ini saperti Ketua Pembangkang!

Perangainya sekarang membuktikan pendirian “cakap tak serupa” bikin beliau. Inilah kelaziman politik “DUA ALAM”. Inilah politik matlamat menghalalkan cara, apa sahaja yang menguntunkan beliau dari segi politik kira beres. Tiba-tiba beliau menjadi jaguh kampong penentang judi kononnya. Sikit punya hipokrit Ketua Pembangkang ini!

Siapa yang tidak lupa beliaulah yang menghalalkan judi di Sabah semasa menjadi Menteri Kewangan yang sangat berkuasa! Walaupun ianya ditentang keras oleh YAB Ketua Menteri Sabah yang bukan Islam masa itu! Dialah rakan baik Datuk Nallakarupan, Pengarah Eksekutif Magnum, operator judi Empat Nombor ekor. Inilah politik cakap tak serupa bikin. Kini beliau mahu menjadi suci dalam debu! Lebih putih daripada kloroks! Itulah bekas Menteri Kewangan yang dahulunya sangat berkuasa. Alangkah anehnya bagaimana seorang manusia boleh betukar menjadi raksaksa pelbagai wajah, menjadi sesumpah hipokrit, dan semuanya atas angan-angan untuk menjadi “Perdana Menteri” ‘at all cost (dengan izin). Ini adalah kes klasik “politik cakap tak serupa bikin”.

Kerajaan hari ini sepatutnya konsisten dan menyedari bahawa suasana pertaruhan sukan di Sabah hari ini tiada beza dengan Sabah waktu dahulu. Melainkan Menteri Kewangan sekarang merasakan dia tidak sehebat bekas Menteri Kewangan dahulu. Beliau sepatutnya membenarkan aktiviti pertaruhan sukan; atas alasan bahawa kita perlu bersikap realistik, dan menyedari bahawa menafaat aktiviti pertaruhan ini jauh mengatasi keburukannya. Adakah Menteri Kewangan sekarang akan tunduk kepada tekanan, atau dapat berbuat lebih baik daripada bekas Menteri Kewangan dahulu. Kita tunggu dan lihat. Sedang kita sibuk berdebat didalam Dewan yang mulia in berbillion-bilion dana pembangunan yang sedia ada sedang dirampak oleh sindiket haram. Ini adalah sangat menyedihkan. Dan selagi kita masih sibuk dengan bahas dan debat kita siapa betul siapa salah, yang ruginya ialah rakyat!

Apatah lagi jika Menteri Kewangan berani mengambil pendirian membenarkan kegiatan pertaruhan sukan, ianya sudah pasti akan dapat meringankan beban rakyat kerana Kerajaan tidak perlu mengenakan cukai-cukai baru untuk mendapatkan dana pembangunan. Kerajaan boleh melupakan hasrat melaksanakan GST, dan saya yakin rakyat akan berterima kasih kepada Kerajaan. Ya, saya menyatakan bahawa Menteri Kewangan bertindak bijak dan membenarkan aktiviti pertaruhan sukan yang terkawal dan diperlesenkan. Menteri Kewangan sepatutnya lebih realistik, apa juga pendirian beliau, aktiviti pertaruhan sukan sedang berlaku secara haram dan bawahtanah. Mengapa biarkan wang berbillion ringgit terbuang begitu sahaja, sedangkan dana tersebut boleh digunakan untuk kepentingan dan kebajikan rakyat dan negara.

Pada ketika ini, marilah kita mengambil sedikit pengajaran dan iktibar daripada ajaran manusia suci dan agong, Mursyidul Am PAS Tok Guru Nik Aziz, yang pernah memfatwakan bahawa “hasil haram” yang diperolehi daripada aktiviti haram dan dosa saperti jualbeli dan peminuman arak dan alkohol boleh digunakan untuk pembangunan negeri Kelantan. Ini yang saya tidak faham. Kalau Mursyidul Am PAS boleh membenarkannya, mengapa ada beberapa kerat Ahli Parlimen PAS hari ini yang menentang perlesenan pertaruhan sukan oleh Kerajaan Persekutuan? Lagipun ianya tidak melibatkan orang Islam. Mengapa membantah? Mengapa bersikap talam dua muka? Apakah mereka tidak bersetuju dengan fatwa Mursyidul Am PAS? Atau apakah mereka lebih menjadikan Ketua Umum PKR sebagai kiblat mereka dan Presiden pemimpin mereka?!

Saya mengajak Dewan yang mulia ini dengan fatwa Tok Guru Nik Aziz mengenai isu menggunakan hasil perolehan daripada akitiviti dosa dan haram ini untuk pembangunan negeri Kelantan, khususnya hasil arak dan alkohol. Dan Kerajaan Persekutuan sepatutnya belajar dan mengambil iktibar daripada fatwa Tok Guru ini.

Dibawah pentadbiran Islam di Kelantan, YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz terus membenarkan penjualan arak kepada bukan Islam dengan mengenakan cukai arak kepada premis-premis jualan arak.

Fatwa Tok Guru, “bagi penjualan arak, ia hanya dibenar jual oleh orang bukan Islam kepada golongan itu sahaja, kerana jika ianya diharamkan sudah tentu menyulitkan orang bukan Islam untuk menikmatinya”. Itulah kata Tok Guru pada 19 November 1992.

Selang dua tahun kemudian, iaitu pada 26 November 1994, apabila ada pihak yang tidak faham dan memepertikaikan dasar Membangun Bersama Islam dan mengkritik penjualan arak, YAB Tok Guru berkata;

“Kelantan menggunakan hasil cukai arak, lesen anjing dan sebagainya bagi menampung kos membuat jalan dan lain-lain projek pembangunan. Arak itu sendiri boleh diminum oleh bukan Islam, jadi bila diminum oleh mereka, maka untuk menjaga keselamatan, Kerajaan mengambil duit dari mana?”

Saya tegaskan bahawa kita tidak perlu menjadi hipokrit, berlaku jujurlah, dan ikutlah nasihat Tok Guru dan berilah sokongan kepada usaha Kerajaan Persekutuan untuk memperlesenkan pertaruhan sukan untuk kepentingan rakyat dan negara. Ahli-ahli PAS sepatutnya tidak menadi lidah bercabang dengan menghalalkan sesuatu apabila menguntungkannya tetapi menjadi haram apabila memenafaatkan orang lain. Tok Guru adalah seorang politik yang bijak, realist dan bukan seorang hipokrit. Saya tegaskan PAS sepatutnya tidak membantah perlesenan pertaruhan sukan sebagaimana ia telah mengeluarkan 40 lesen arak di Kelantan dan menggunakan hasil cukainya untuk pembangunan infrastruktur di kelantan! Sedarkah kita bahawa Kelantan juga pasti akan mendapat menafaat daripada perlesenen pertaruhan sukan ini, samada secara langsung atau tidak langsung. Bayangkan berapa banyak jalan, sekolah, hospital, dewan-dewan dan lain-lain kemudahan awam yang akan dapat dibina. PAS sepatutnya mengamalkan apa yang dicadangkan. Apakah PAS juga juda terkena sindrom “cakap tak serupa bikin” yang menjadi lambang kemegahan Ketua Pembangkang!

Saya yakin Kerajaan Persekutuan boleh melakukan yang lebih baik daripada apa yang dibuat oleh Kerajaan PAS Kelantan dan mengambil iktibar daripada Tok Guru, dan bertindak secara realisitik dengan membenarkan pertaruhan sukan. Pasti perolehan yang akan dijana daripadanya jauh lebih banyak daripada perolehan hasil arak Kerajaan PAS Kelantan. Apa pendirian Kerajaan Persekutuan? Apakah kamu tidak boleh bersikap realistik? Apakah Kerajaan boleh melakukan yang lebih baik daripada PAS? Tidakkah boleh pengajaran diambil daripada fatwa Tok Guru? Adalah jelas PAS tidak sepatutnya membantah kerana mereka juga melakukan hal yang sama di Kelantan, iaitu mengambil hasil cukai lesen arak, judi dan lain-lain di Kelantan!!

Saya telah berhujah panjang tentang isu ini dan saya akhirinya dengan mesej yang jelas ini.

Saya adalah seorang yang realistik dan saya mahu lontarkan satu ingatan kepada semua: Selagi kita melengahkan usaha membawa pertaruhan sukan ke arus perdana dan memperlesenkannya, kita hanya melengahkan perolehan dana yang boleh digunakan untuk pembangunan sosial dan sukan bolasepak termasuk lain-lain sukan untuk kepentingan rakyat dan negara. Sedang kita semua sibuk berbahas dalam Dewan yang mulia ini, negara mungkin sedang kehilangan nilai hasil yang berjuta, mungkin berbillion-bilion! Ini semua hanya kerana politiking melampau dan hipokrit, dijana oleh seorang manusia rakus demi memenuhi nafsu politik matlamat menghalalkan cara, ketaksuban seorang yang bertindak sasau untuk ke Putrajaya dengan apa cara sekalipun! Negara ini tidak memerlukan retorik politik, dan menafikan rakyat dan negara daripada cukai perlesenan pertaruhan sukan yang boleh digunapakai untuk kepentingan dan kebajikan rakyat dan negara ini!

Adalah tidak masuk akal untuk kita menghapuskan subsidi, tetapi diwaktu yang sama membenarkan sindiket haram judi sukan mengaut keuntungan yang banyak!!

Mengapa kita boleh menjadi bendul dan buta kepada ini semua? Mengapa rakyat harus menjadi mangsa dengan penghapusan subsidi apabila hasil cukai pertaruhan sukan boleh menampungnya? Pertaruhan sukan yang dikawalselia adalah jawapan kepada masalah ini!

Kita semua mesti tegas menyatakan pendirian jelas kepada Kerajaan bahawa negara ini tidak sepatutnya menghapuskan subsidi untuk rakyat, tetapi diwaktu yang sama”memberi subsisi” kepada segelintir sindiket haram. Ini tidak betul dan adalah tidak bertanggungjawab bagi kita untuk tidak bertindak demi kepentingan rakyat yang telah meletakkan kita disini!

Sedarlah. Bukalah mata. Janganlah kita mempertuhankan diri, “don’t play God” (dengan izin,. Kita sendiri telah mengambil hasil daripada dana-haram ini kononnya dengan cukai keatas lesen arak, Big Sweep, loteri, dan Empat Nombor Ekor dilain-lain negeri saperti Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.

Pertaruhan sukan yang diperlesenkan dan dikawalselia dengan peraturan akan membawa menafaat yang banyak kepada rakyat berbanding dengan keburukannya. Jadi marila kita bersama menyatakan “YA” kepada perlesenan pertaruhan sukan”. Saya mendesak Kerajaan supaya memberikan lesen sukan pertaruhan bukan sahaja kepada Ascot Sports tetapi sebaliknya hendaklah diujudkan sistem tendet terbuka untuk membolehkan syarikat lain juga turut serta kerana “the more the merrier” (dengan izin, lebih banyak syarikat lebih hasil yang akan diperolehi Kerajaan yang akhirnya akan memberi menafaat kepada rakyat dan negara.

Terima kasih.

No comments:

Post a Comment